Thursday, July 16, 2009

Silaturrahim Kerana Allah Swt Lebih Kuat

Kerana orang mukmin adalah bersaudara, maka wanita tidak terkecuali dalam membina ukhwah sesama Muslim. Ikatan persahabatan yang tulus dan ikhlas berbeza dengan cara dilakukan oleh bukan Muslim kerana silaturahim yang dibina kerana Allah swt lebih kuat dan teguh. Ia disebabkan iman setiap orang mukmin kepada Allah swt disambungkan kepada saudara seagama menjadikan pertautan hati dan jiwa serta akal dan rohani yang tiada taranya.

Sebab itulah ada persahabatan yang erat dan berpanjangan melebihi hubungan persaudaraan. Sesama sendiri, Muslimah memiliki ikatan hati yang sangat kuat kerana ukhwah disebabkan cinta kepada Allah swt. Mereka saling mengingatkan antara satu sama lain, berkongsi rasa dan duka, gembira dan suka. Daripada hubungan persahabatan juga manisnya iman dapat dirasa sehingga ada yang berubah pendirian dan sikap untuk lebih menghampiri penciptanya.

Rasulullah saw bersabda bermaksud, "Ada tiga hal yang apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan manisnya iman; menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selainnya. Dan apabila mencintai seseorang, dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah. Dan dia enggan kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia enggan dilemparkan ke neraka."
Orang yang merasai manisnya iman sukar berkongsi apa yang dirasai dengan orang lain melainkan perasaan sama turut dialami.

Yang pasti, Nabi Muhammad saw digelar kekasih Allah adalah manusia yang paling dekat hatinya dengan Allah swt kerana Baginda mencintai Allah melebihi yang lainnya dan sanggup menghadapi bahaya dan benc
ana semata-mata untuk mempertahankan agama dan mesej yang dibawa dari Yang Maha Esa. Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan mencintai Allah dan Rasul lebih daripada segala-galanya.

Bayangkan jika seseorang wanita menyintai suaminya tanpa berbelah bahagi sehingga sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air semata-mata untuk sentiasa berada di samping suami.
Itulah tanda cinta yang tiada bandingannya. Situasi sama perlu dirasai jika kita mencintai Allah dan Rasul sehingga cinta itu tidak terungkap oleh kata-kata, sebaliknya kita akan sentiasa gembira dan tenang apabila mendampinginya dan menjauhi apa yang tidak disukai kerana bimbang dibenci.

Wanita yang menjalin persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan untuk merasai manisnya iman dengan membina ukhwah dan mencintai sahabat kerana Allah. Walaupun tiada di depan mata, silaturahim tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita sentiasa menghampiri-Nya kerana iman kepada Allah swt disambungkan kepada saudara seagama. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 bermaksud, "Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara".

Kesibukan dengan urusan harian dan komitmen kepada keluarga sepatutnya tidak membataskan wanita untuk menjalin hubungan persahabatan, tambahan pula kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini memudahkan lagi perhubungan tanpa memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Ada sahabat yang memerlukan kita untuk berkongsi masalah dihadapi dan meminta pertolongan untuk mengatasi kesusahan yang membelenggu.

Hubungan yang erat dan ikhlas tentunya dapat membantu sahabat dalam kesusahan dan sedikit sebanyak memanfaatkan diri kita yang dilahirkan ke dunia kepada orang lain. Jangan pula ada wanita yang mengambil kesempatan untuk membina hubungan sesama wanita melampaui batasan sepatutnya.

Ada segelintir yang mendakwa mencintai sahabat wanita sehingga sanggup menjalin hubungan songsang yang bertentangan dengan agama dan norma, bahkan ada yang meminta cerai suami untuk 'hidup bersama' dengan tem
an wanita yang dicintai. Mereka mengambil kesempatan di atas jantina yang serupa untuk tinggal bersama tanpa menimbulkan syak wasangka tetapi hidup dengan nilai buruk dan menjijikkan, seolah-olah tidak mengetahui akibat apa yang dilakukan di akhirat nanti.

Tidak salah mencintai sahabat baik, mengasihi dan menyayanginya seperti kita dicintai, dikasihi dan disayangi tetapi biarlah kerana Allah, tidak melencong daripada landasan agama dan sentiasa saling mengingatkan azab yang pedih. Bahkan orang yang mengasihi kerana Allah mendapat kemuliaan, kebanggaan dan kehormatan pada saat Allah mengumpulkan mereka pada hari akhirat dan Allah akan menaungi mereka pada hari itu.

Persahabatan jujur lahir daripada hati yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa melainkan keredaan Allah swt. Sahabat sebegini mempunyai hati yang bersih dan rohani yang suci. Mereka tidak terganggu dengan mengadu domba, umpat keji, hasad dengki dan caci maki.

Mereka mampu menyingkirkan bisikan duniawi yang penuh syahwat dan menghancurkan agenda iblis yang sentiasa ingin membinasakan silaturahim sesama Muslim. Sebaliknya, sahabat yang keji sentiasa mengharapkan ganjaran duniawi dan menaburkan fitnah dan mencaci maki jika apa yang diingini tidak diperoleh. Mereka lupa Allah mengangkat darjat orang yang mengasihi kerana Allah, bukan kerana wang dan pangkat.

Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah bersabda maksudnya; "Bahawasanya ada seorang lelaki yang hendak mengunjungi saudaranya di desa yang lain, maka Allah mengutus malaikat untuk menemuinya di sebuah jalan yang akan dilaluinya. Selepas bertemu, malaikat bertanya kepadanya, "Ke manakah kamu akan pergi?" Lelaki itu menjawab, "Aku akan menemui saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi, "Apakah ada kenikmatan dunia yang kamu harapkan darinya?" Lelaki tadi menjawab, "Tidak demikian, tetapi kerana aku mencintainya kerana Allah. Malaikat berkata, "Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah kepadamu untuk mengkhabarkan sesungguhnya Allah mencintaimu sebagai mana kamu mencintai saudaramu kerana-Nya." (HR Muslim)

Oleh: Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber: Serikasih.blogspot.com

2 comments:

  1. assalamu'alaykum warohmatullahi wabarokaatuh,

    Ummie..ina jadi teringat dengan cinta yg agung.. cinta yg semata2 hanya pada Allah dan Rasul-Nya..

    Ina suka takut tersilap antara mencintai makhluk karena Allah atau yang dicintai adalah makhluk-Nya..

    Ummie.. ina ingin mencintai Allah dan Rasul-Nya diatas segala2nya..tp bagaimana caranya..

    ReplyDelete
  2. Namaku ina,
    Mengapa kita suka / cinta pada seseorang itu ?. Apakah karena rupa parasnya, hartanya, keturunannya, atau agamanya ..?. :)

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin