Saturday, January 16, 2010

Allah Murah Rezeki Hamba Bermurah Hati

Kedekut menggambarkan sikap seseorang yang berat hati untuk membelanjakan harta milikinya sama ada bersedekah, zakat atau membantu mereka yang memerlukan. Sikap itu bertentangan dengan tuntutan Islam.


Firma Allah swt yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (Al-Maidah ayat 2)

Rasulullah saw bersabda: “Takutilah kamu akan bakhil, kerana bakhil itu pernah membinasakan orang dahulu daripada kamu sehingga mereka suka mengalirkan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang diharamkan ke atas mereka.”

Tabiat kedekut berpunca daripada sikap terlalu sayangkan harta. Ia boleh menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah dan mengerjakan ibadat, sebaliknya memalingkan muka hati kepada dunia semata-mata.

Firman Allah swt, maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi.” (Al-Munafiqun ayat 9)

Jadi, bagi menyucikan sebahagian harta, setiap orang perlu manfaatkan harta itu dengan membelanjakannya ke jalan yang boleh memberi manfaat. Kita juga disaran berusaha memperbaiki kelemahan dan ‘meloloskan’ diri daripada kemiskinan kerana kemelaratan itu hanya akan menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Tangan memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Jadi kita perlu sematkan dalam diri untuk bersedekah, Insya-Allah harta yang dikeluarkan akan diganti berlipat ganda. Jangan hanya sebab harta benda kita bermusuh sesama sendiri.

Berdasarkan konsep rezeki yang diterangkan, Allah memberi jalan seluas-luasnya bagi setiap hamba-Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk. Justeru, selagi berpeluang bernafas, manfaatlah harta untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain kerana rezeki yang kita miliki kadangkala ada hak kepada orang lain.

Selain itu, menunaikan hajat orang lain juga boleh meluaskan jajaran rezeki. Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan boleh menggelapkan rupa, hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Amalan bersedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki kita seluas-luasnya. Nabi saw bersabda kepada Zubair bin al-Awwam, maksudnya: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu tergantung di Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” [HR Ad-Daruquthni dari Anas r.a.]

Saidina Abu Bakar berkata, maksudnya: Orang-orang yang terlalu bakhil mereka tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan iaitu:

1. Allah memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim, lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.

2. Allah akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir dan tenggelam dalam tanah.

3. Selepas meninggal, hartanya akan diwarisi mereka yang mempergunakan di jalan maksiat dan kemungkaran.

4. Allah akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga ia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakit itu.

5. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat, lalu ia sendiri terlupa sehingga tidak boleh menemuinya.

6. Terlintas dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak, akibatnya hartanya musnah.

7. Allah meninggikan syahwat bakhilnya sehingga ia sendiri yang akan memusnahkan.

Oleh : Mohd Fadly Samsudin
Sumber : Harian Metro


Wednesday, January 6, 2010

Syaitan Cetus Sifat Marah

Marah satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah swt dan Rasulullah saw. Perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh.


Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan.

Memang benar ada yang mengatakan 'aku sudah meletup, memang aku tak boleh buat apa-apa.' Tetapi lebih baik kita belajar menenangkan diri sebelum menghamburkan sebarang bentuk perkataan kepada pihak lain.

Selain itu, melihatkan status diri sebagai insan yang berakal membolehkan kita menilai dulu sesuatu perkara sebelum melakukan sebarang tindakan yang bersandarkan desakan emosi semata-mata. Ketika dalam keadaan marah, manusia sebenarnya dikuasai syaitan yang akhirnya akan berlaku suasana tegang seperti kawan bertengkar sesama kawan atau anak mengherdik ibu bapanya.

Allah swt berfirman bermaksud: "Dan Tuhanmu (Allah ) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uh', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun)." (Al-Israk : 23).

Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri. Lebih buruk, jika perasaan marah itu gagal ditenteramkan walaupun sebelah pihak mungkin sedaya upaya mententeramkan keadaan.

Sebagai umat Islam, Nabi Muhammad saw menganjurkan kita beberapa teknik bagi mengawal perasaan marah. Cara terbaik dengan mengeluarkan kata-kata berhikmah. Kata-kata yang baik terbit daripada hati yang suci dan boleh menjadi pedoman kepada manusia.

Dari satu sudut lain, sifat pemarah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai sifat marah akan dizalimi serta dicerobohi haknya. Tetapi perkara tercela adalah sifat marah yang tidak kena pada tempatnya. Justeru, sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak elok ditutur, lebih baik sekiranya segera beristighfar.

Namun, kita sebenarnya tidak boleh menjadikan marah itu sebagai ukuran tepat untuk menggambarkan perasaan tidak puas hati. Kita masih mempunyai masa bagi mengawal percakapan daripada menuturkan kata-kata berunsur herdikan, cacian seterusnya membibitkan perasaan marah yang tiada taranya.

Ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga. Kita sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil jalan 'pintas' iaitu terus memarahi tanpa menyelidiki pokok pangkalnya. Sudah tentu, tindakan marah kita itu akan menjadi sia-sia serta menjarakkan hubungan persaudaraan.

Walaupun orang yang dimarahi itu melakukan kesilapan, sekurang-kurangnya mereka perlu memberi peluang daripada melemparkan perasaan marah berkenaan. Marah boleh, tetapi jangan menjadi orang yang mempunyai sifat pemarah. Sebenarnya, apa yang terkandung daripada sifat marah itu perasaan benci terutama jika emosi menebal itu gagal dikawal sehingga terhambur perkataan cabar mencabar sehingga sanggup memberi ancaman kecederaan dan bunuh kepada individu lain.

Rasulullah saw menganjurkan umatnya supaya tidak menjadi seorang yang pemarah seperti diriwayatkan Abu Hurairah, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: "Berpesan kepadaku! Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: Jangan marah!" (HR Al-Bukhari).

Bagi mengubati penyakit marah ini, Islam mengajar umatnya menahan diri ketika marah dan sabar apabila melawan hawa nafsu yang meluap-luap itu. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah)." (HR Al-Tirmidzi).

Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan syaitan yang dijadikan daripada api. Oleh itu ingatlah api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan pada anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang 'membara' akibat marah itu.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (HR Abu Daud).

Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (HR Al-Bukhari).

Sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan. Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu. Firman Allah swt yang bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Al-Syura : 37).

Antara langkah untuk mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang:

  • Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakiti hati itu. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.

  • Jangan menyalahkan orang lain. Beri tumpuan kepada punca sebenar yang mencetuskan kemarahan kerana ia mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri.

  • Perbaiki keadaan selepas kita berada dalam keadaan tenang dan terkawal. Jangan lepaskan kemarahan kepada orang lain semata-mata kerana tidak puas hati dengan individu lain.

  • Dapatkan rehat dan tidur secukupnya selain makan makanan berkhasiat kerana apabila badan letih, ia akan menyebabkan seseorang itu lebih cepat naik marah.

  • Amalkan senaman ringkas selama beberapa minit setiap hari bagi mengurangkan ketegangan.

  • Jadi seorang pendengar yang baik. Sifat orang pemarah adalah dia sangat sukar mendengar pendapat orang lain kerana merasakan tindakan serta pendapatnya mengatasi orang lain.

  • Jauhi amalan yang menjadi punca perkelahian seperti suka merendah-rendahkan, memperlekeh serta mengherdik orang lain lalu digantikan dengan sifat memuliakan orang.

  • Amalkan bacaan A'uzubillah himinasyaitaannirrajiim (Aku berlindung kepada Allah s.w.t daripada syaitan direjam) selain tidak meninggalkan solat kerana di dalamnya terdapat kesan hebat yang boleh menerbitkan perasaan tenang jika diamalkan dengan sepenuh ikhlas.

  • Oleh : Mohd Fadly Samsudin
    Sumber : Harian Metro


    Tuesday, December 22, 2009

    Ar-Rubai Mendoakan Kebaikan Anaknya

    AR-RUBAI binti An-Nadhr ialah seorang wanita yang baik. Beliau mempunyai adik-beradik iaitu Anas dan Ummu Hakim. Dia juga mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Anas bin Malik. Beliau adalah pembantu kepada Nabi Muhammad. Ar-Rubai merupakan wanita yang awal memeluk agama Islam.

    Ar-Rubai berkahwin dengan Suraqah bin al-Haris an-Najjari. Hasil perkahwinan mereka lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Harisah.
    Ar-Rubai atau dikenali dengan panggilan Ummu Harisah adalah seorang ibu yang pandai mendidik anaknya. Ar-Rubai selalu mendoakan agar anak lelakinya itu menjadi seorang pahlawan Islam yang handal.

    "Harisah, sekarang awak sudah besar. Ibu mahu awak ikut Nabi Muhammad dalam siri peperangan," kata Ummu Harisah. "Ibu, saya belum biasa memegang pedang. Apatah lagi menunggang kuda atau memanah," balas Harisah pula. "Itu tidak menjadi masalah. Nabi Muhammad boleh menolong awak. Ibu percaya Nabi Muhammad boleh menyelesaikan masalah awak ini," kata Ummu Harisah. "Baik ibu. Saya akan belajar bersungguh-sungguh teknik dan cara peperangan yang betul," jelas Harisah dengan bersemangat. Harisah seorang anak yang baik dan taat kepada ibunya. Berkat nasihat dan doa dari ibunya, Harisah akhirnya menjadi seorang pemuda yang gagah berani. Anaknya itu tidak gentar menghadapi musuh. Bahkan anaknya sering mengharapkan agar dirinya mati syahid di medan perang.

    Pada suatu hari Nabi Muhammad berjumpa dengan Harisah lalu bertanya, "apa khabar awak sekarang?"
    Lalu Harisah menjawab, "Saya sihat dan sejahtera. Saya kini sudah benar-benar merasakan betapa agungnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Hidup dan mati saya hanya kerana Allah," kata Harisah. Nabi Muhammad pun berkata lagi, "hati awak kini sudah dipenuhi dengan keimanan kepada Allah". Harisah bertambah semangat mendengar kata-kata Nabi Muhammad lalu dia menyambung lagi, "Wahai Nabi Muhammad saw, tolong doakan semoga saya berjaya mengalahkan musuh di medan perang. Sekiranya saya gugur di medan perang, doakan saya gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid".

    Nabi Muhammad saw pun mendoakan semoga Harisah menjadi seorang yang syahid dalam peperangan melawan musuh Islam. Tiba masanya tentera Islam menghadapi musuh di Perang Badar pada tahun 2 Hijrah. Ummu Harisah tidak mahu anaknya melepaskan peluang keemasan itu.
    "Wahai Harisah, pergilah ikut Nabi Muhammad dan tentera Islam yang lain ke medan perang Badar. Berjuang sehabis-habisan demi menegakkan agama Islam," kata Ummu Harisah kepada anaknya. "Doakan semoga tentera Islam berjaya di medan perang Badar," kata Harisah sambil berjabat tangan lalu mencium tangan ibunya.

    Harisah pun berangkat bersama angkatan tentera Islam ke medan Perang Badar. Perang Badar berlaku kerana umat Islam ingin mempertahankan keselamatan orang Islam. Pihak Quraisy Mekah tidak serik menindas dan mengancam orang Islam Makkah pada masa itu.
    Berkat doa Nabi Muhammad akhirnya Harisah mati syahid di medan Perang. Berita kematian anaknya sampai kepadanya. Ummu Harisah menerima berita itu dengan tenang. Dia berdoa semoga anaknya dimasukkan ke syurga.

    Ummu Harisah terus berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu berkata, "wahai tuan, bagaimana keadaan Harisah. Sekiranya dia kini berada di syurga alangkah gembiranya saya. Tetapi jika sebaliknya saya amat sedih mendengar kematiannya".
    Nabi Muhammad tersenyum lebar lalu berkata, "Wahai Ummu Harisah, anak awak kini sedang berseronok di syurga Firdaus". Alangkah gembiranya Ummu Harisah apabila Nabi Muhammad membawa berita itu. "Alhamdulillah. Cita-cita Harisah untuk mati syahid akhirnya tercapai. Harisah kini bahagia di syurga yang paling tinggi," kata Ummu Harisah sendirian.

    Ummu Harisah tidak ketinggalan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Anak saudaranya yang bernama Anas bin Malik juga turut melaporkan hadis darinya.
    Sepanjang hidupnya Ummu Harisah banyak menghabiskan masanya dengan melakukan amal ibadah kepada Allah.

    Sumber : Utusan Malaysia


    Monday, December 14, 2009

    Jemaah Tabligh

    Ketika awal kehadirannya, ramai yang pelik melihat gelagat mereka yang mengusung beg, periuk, cerek dan pinggan dari satu masjid ke satu masjid. Dengan ketayap putih di kepala dan berjanggut, mereka sering diberi pandangan negatif.

    Namun, lama kelamaan apabila jumlahnya semakin ramai, masyarakat mulai sedar mereka adalah kumpulan pendakwah yang dipanggil 'tabligh'.
    Penulis turut mempunyai pengalaman diajak keluar bersama-sama menyertai sebahagian gerak kerja dakwah ketika di kampus. Ketika itu ahlinya terdiri daripada pelajar sendiri yang akan melawat dari bilik ke bilik bagi menyampaikan peringatan atau tazkirah pendek yang dirungkai daripada hadis nabi atau ayat al-Quran.

    Jadi pada setiap malam selepas solat Maghrib, dua hingga tiga ahli jemaah akan bersama dalam sesi tazkirah yang mereka sampaikan.
    Mengikut sejarah, tabligh adalah jemaah Islam yang berpusat di India. Ia ditubuhkan pada akhir dekad 1920-an oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi di Mewat, sebuah wilayah di India.

    Tabligh dilahirkan bagi mengajak masyarakat India Muslim yang masih berpegang kepa
    da budaya Hindu melaksanakan Islam secara total. Jemaah tabligh memegang kepada manhaj (formula) yang dijadikan dasar penting sebagai rujukan yang dinamakan Ushulus Sittah (enam dasar). Ia merealisasikan kalimat thoibah, solat dengan khusyuk dan khudu' (penuh ketundukan), ilmu dan zikir, memuliakan Muslim, membaiki niat dan mengikhlaskannya serta keluar (khuruj) di jalan Allah. Gerakan ini menjalankan tugas berdakwah tanpa mengambil kira asal-usul mazhab atau aliran pengikutnya.

    Jemaah tabligh mempunyai markas di setiap negara dan markas antarabangsa terletak di Nizzamudin, India. Setiap markas daerah dipimpin seorang shura dan kemudian membentuk ratusan markas kecil yang dinamakan halaqah.
    Kegiatan halaqah adalah perjumpaan mingguan, sebulan atau mereka keluar (khuruj) selama tiga hari. Khuruj bertujuan meluangkan sepenuh masa berdakwah di masjid atau surau dengan dipimpin Amir. Ketika ini, mereka banyak menghabiskan masa membaca hadis atau kisah sahabat yang biasanya dipetik daripada kitab Fadhail Amal karya Maulana Zakaria. Kemudian mereka mengunjungi (jaulah) rumah ke rumah dan bermuzakarah.

    Sepanjang tempoh khuruj itu, mereka akan tinggal sementara di masjid atau surau.
    Mereka memasak makanan sendiri dan makan beramai-ramai dalam talam besar. Jemaah tabligh mengabdikan sepenuh jiwa raga untuk agama dan tidak menyentuh perkara berkaitan politik. Justeru, mereka dianggap kumpulan yang sukakan perdamaian. Namun, bukan mudah untuk menjadikan seorang dalam jemaah tabligh yang tekun kerana memerlukan kekuatan diri terutama meninggalkan rumah tangga, isteri dan anak untuk tempoh beberapa hari.

    Memang bukan perkara mudah melakukan perkara kebaikan kerana syaitan sentiasa membisikkan perkara yang melalaikan. Usaha jemaah tabligh keluar berdakwah nampak mudah, tetapi terpaksa melalui jalan berliku terutama pandangan masyarakat. Ada yang diherdik, dimaki, dihalau malah dianggap kutu rayau ketika melakukan tugas dakwah itu. Malah, ada umat Islam sendiri yang menyindir supaya mereka berdakwah kepada golongan bukan Islam daripada menyibuk datang dari rumah ke rumah. Malah ada juga yang menyarankan aktiviti tabligh diharamkan di Malaysia kononnya ia boleh menyebabkan kemunduran umat Islam.

    Justeru, jemaah tabligh memang dilatih menjadi penyabar kerana perkara itu memang sudah dijangka.
    Bagaimanapun, jemaah tabligh membuktikan mereka berjuang dengan rela hati apabila sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari, seminggu, 40 hari atau empat bulan untuk mengembangkan agama Allah. Mereka antara manusia bertuah kerana memperuntukkan sebahagian usia kepada agama, sedangkan ramai manusia berebut-rebut mencari habuan keduniaan.

    Bukan semua sanggup berjauhan lama dengan anak dan isteri melakukan kerja dakwah sebegini. Namun, jemaah tabligh yakin cara dakwah mereka menepati perbuatan Rasulullah s.a.w. Perkara paling penting dalam berdakwah mengikut cara tabligh adalah keikhlasan. Kemuncak jemaah tabligh di negara ini ialah perhimpunan 200,000 ahli kumpulan itu dari seluruh dunia yang berkampung di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sempena ijtimak Tabligh Sedunia, baru-baru ini.

    Jemaah tabligh daripada lebih 40 negara hadir yang membentuk saf solat bermula dari barisan hadapan hingga ke belakang sepanjang lebih satu kilometer (km) manakala setiap saf sepanjang 500 meter.
    Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata jemaah tabligh membuktikan mereka dapat mengumpulkan umat Islam dari seluruh dunia. Ini satu perkara yang hebat.

    "Namun, mereka perlu mengembang peranan dakwah, tidak hanya di masjid atau surau sebaliknya meluaskan jaringan itu kepada remaja bermasalah, vandalisme, penjara dan pusat pemulihan akhlak. Cabang dakwah ini luas dan ia perlu diperkemaskan supaya orang ramai dapat menerima cara penyampaian dakwah kita. Mereka juga boleh mengetengahkan cabang dakwah melalui penulisan dan kebajikan. Nabi Muhammad s.a.w berdakwah kepada semua peringkat umur dan latar belakang," katanya.

    Zamihan berkata melalui kepelbagaian bentuk dakwah itu seseorang boleh menyampaikannya di mana-mana saja tanpa terhad kepada sebarang waktu.
    "Kewajipan memperingati sesama umat itu terletak di setiap bahu kita. Dakwah yang sebenarnya tidak terhad di masjid atau di surau saja. Kelompok utama yang perlu kita hampiri adalah di kalangan ahli keluarga kita terlebih dulu sebelum melakukan dakwah kepada individu lain," katanya.

    Mengenai keluar (khuruj) berdakwah ke tempat lain, ia bergantung kepada kemampuan diri. Jika mempunyai banyak tanggungjawab, utamakan keluarga dahulu sebelum perkara lain.
    "Jika kita keluar menjalankan tanggungjawab berdakwah, tetapi pada masa sama membiarkan isteri dan anak terabai, hukumnya haram. Setiap individu juga mempunyai tugas besar terhadap kerjaya dan pelajaran. Pastikan tanggungjawab itu diutamakan," katanya. Menurutnya, kehadiran jemaah tabligh di masjid atau surau untuk kerja dakwah diharuskan, tetapi mereka perlu menonjolkan disiplin tinggi bagi membolehkan orang lain menghormati mereka.

    "Contohnya bersugi, ia memang amalan mereka, tetapi jangan dilakukan tanpa mengira tempat hingga menyebabkan orang lain tidak senang melihatnya.
    Pakaian dan penampilan diri mesti menggambarkan kualiti pendakwah yang Islam mahukan," katanya. Namun, beliau menganggap jemaah tabligh sudah menjalankan tanggungjawab mereka, sekurang-kurangnya memberi impak kepada usaha mengembangkan Islam secara terbuka.

    "Dalam menyampaikan dakwah, jangan kecewa atau marah apabila orang lain tidak menerima pendekatan kita. Apa yang penting penyampaian dakwah itu sudah dilaksanakan.
    Sentiasa melihat kelemahan diri sendiri kerana Rasulullah s.a.w yang maksum pun memohon bertaubat 100 kali sehari, apatah lagi kita manusia biasa," katanya.

    Sumber : Harian Metro
    Oleh : Mohd Fadly Samsudin


    Blog Widget by LinkWithin