IJTIMAK Dakwah Tabligh Sedunia yang berlangsung dari 8 hingga 12 Julai lalu di kawasan lapang berhampiran kuarters kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang memperlihatkan resolusi dakwah yang berteraskan kesepakatan perpaduan ummah.
Hakikat itu diakui oleh Ahli Syura Malaysia, Sheikh Muhammad Sheikh Ali kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam taklimat 20 minit di khemah utama dalam lokasi ijtimak tersebut.
Kata Muhyiddin, jaminan telah diberi kepada pemimpin tabligh yang datang ke negara ini bahawa ijtimak itu bertujuan menyatupadukan umat Islam seluruh dunia dalam pentarbiahan ilmu, didikan dan dakwah agar syiar Islam berkembang segar.
Selain Muhyiddin, turut meninjau dan bertemu dengan jemaah tabligh ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan beberapa menteri Kabinet. Turut berangkat ialah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ijtimak Dakwah Tabligh Sedunia yang telah berlangsung itu mengumpulkan lebih 200,000 jemaah dari dalam dan luar negara. Ia adalah kali kedua diadakan di negara ini selepas 27 tahun yang lalu.
Kali pertama ia diadakan di Terengganu dengan kehadiran lebih 50,000 orang. Sebahagian besar pengisian ijtimak kali ini adalah syarahan agama yang kemudiannya diterjemah ke pelbagai bahasa.
Berdasarkan laporan sekretariat, dicatatkan sejumlah 12,000 jemaah dari luar negara yang terdiri daripada wakil 40 buah negara termasuklah Senegal, Far East Russia, Maghribi, Arab Saudi, Jordan, Libya, Tarjikistan, Reunion Island, Nigeria, Jerman, Belanda, Hong Kong dan banyak lagi sudah berkampung di ijtimak ini sejak 8 Julai lalu.
Terdapat 14 khemah gergasi didirikan di kawasan ini termasuklah satu yang disediakan untuk jemaah dari luar negara. Setiap khemah boleh menampung antara 10,000 hingga 15,000 jemaah.
Anggota jemaah dari Palestin, Mohamad Ibrahim, 60, berkata, beliau gembira kerana dapat bersama-sama beribadat di negara ini, iaitu sebuah negara yang aman dan harmoni. "Saya gembira kerana berada di negara ini. Saya dapat menunaikan ibadah dengan baik, tidak di negara saya yang sering berhadapan ancaman yang pastinya dari rejim zionis. Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan semangat kepada rakyat Palestin dan saya amat terharu keprihatinan rakyat dan pemimpin negara ini," katanya.
Abdul Ghani Naghorghani, 47, dari Myanmar memberitahu, berada di negara ini dan mendapat ilmu melalui ijtimak tabligh membawa banyak berkat. "Negara Malaysia akan dilindungi Allah. Di sini saya dapat menemui jemaah dari pelbagai negara dan saya bersyukur kerana dapat bersama-sama mereka selama lima hari di ijtimak ini. Banyak ilmu diperoleh melalui kuliah," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Halim Thabit, 50, dari China berkata, beliau kagum dengan negara Malaysia dan penerimaan rakyat terhadap kebebasan beragama. "Ijtimak ini membuktikan bahawa Malaysia menerima sesiapa sahaja tetamu untuk datang berdakwah di sini. Saya melihat disinilah negara yang paling selamat. Tiada halangan untuk menjalankan ibadah, walaupun mereka hidup pelbagai kaum. Saya juga bertemu dengan rakan lain beragama Buddha, mereka kata kebebasan beragama di Malaysia amat dikagumi. Ini adalah negara terbaik yang pernah saya kunjungi," katanya.
Pada Ijtimak itu juga turut menyaksikan ratusan peniaga mengambil kesempatan menjual pelbagai jenis makanan, pakaian, minyak wangi, tikar, buah-buahan, kopiah dan sebagainya di sepanjang laluan masuk ke lokasi ini. Ini menjadikan suasana cukup meriah di samping keunikan pemandangan lautan jemaah tabligh yang berhimpun di situ.
Oleh: Ainol Amriz Ismail
Sumber: Utusan Malaysia
Wednesday, July 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment