Sunday, July 19, 2009

Berkat Bismillah ......

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali hendak memulakan sesuatu pekerjaan. Tetapi suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperlekehkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."
Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah Swt supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suaminya berkata, "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Suatu hari si suami bercadang membuat sesuatu untuk membuktikan bahawa amalan isterinya yang membaca Bismillah selama ini hanya sia-sia. Dia lalu memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini di tempat yang selamat." Isterinya yang taat telah mengambil duit itu dan menyimpannya di dalam almari. Tanpa diketahui, suaminya telah melihat tempat di mana isterinya itu menyimpan duit yang diberikannya tadi. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya. Dengan berhati-hati dia menghampiri almari tempat dia menyimpan duit itu, dengan lafaz "Bismillahirrahmanirrahiim" dia pun membuka pintu almari itu.

Ketika itu Allah Swt. menghantar malaikat Jibrail as untuk mengembalikan beg duit itu dan kemudian si isteri menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali. Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan menceritakan segala perbuatannya kepada isterinya. Dan pada ketika itu juga si suami bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah swt, dia juga membaca Bismillah apabila hendak memulakan sesuatu kerja.

Sumber: Serikasih.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin