Monday, April 18, 2011

Jinakkan Jiwa Anak Dengan Nur Al-Quran

Dalam situasi semasa kita sedia maklum banyak gejala sosial negatif melanda generasi muda khususnya remaja. Jadi, sebagai ibu bapa aspek pendidikan untuk anak-anak seharusnya menjadi keutamaan yang tidak boleh diabaikan sama sekali. Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap segala tingkah laku dan gerak-geri anak-anak mereka.

Pada tahap usia muda anak-anak sudah mula mengenal dunia luas yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Pengabaian dalam mengambil tahu gerak-geri anak-anak boleh mengakibatkan mereka menjadi tidak terkawal dan bergaul bebas.

Selain itu, kita sebagai ibu bapa seharusnya juga mencuba sedaya boleh meluangkan masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Cubalah wujudkan majlis ilmu bagi membincangkan bersama anak mengenai sirah Nabi saw dan perjalanan sejarah Islam.

Insya Allah dengan pendekatan dan metodologi seperti ini jiwa anak remaja kita akan terisi dengan roh Islam yang mantap. Wujudkan pengajian al-Quran bersama anak-anak dan sentiasalah mengajak mereka mencintai kitab suci itu. Inilah strategi dalam mengukuhkan kekuatan iman dan takwa dalam diri anak remaja.

Remaja yang mematuhi segala perintah syarak akan mewujudkan realiti kehidupan yang sempurna. Allah swt menegaskan mengenai pentingnya kehidupan ini dipaut pada al-Quran. Allah swt berfirman: "Sesungguhnya al-Quran itu membimbing kita ke jalan yang lurus (benar)." (Al-Isra' ayat 9)

Remaja yang rajin membaca ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan sentiasa merenung isi maknanya, sudah tentu akan mampu menghidup dan menjernihkan hatinya. Kata Saidina Ali ra : "Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran. Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan khusyuk."

Justeru, wahai saudaraku yang dirahmati Allah, untuk memperoleh nur dan hidayah Allah itu satu mekanismenya ialah melalui pembacaan al-Quran. Jinakkanlah hati dan jiwa anak-anak kita dengan al-Quran. Jadikan mereka 'bermesra' dengan lebih erat dan 'jatuh cinta' kepada al-Quran.

Bukan setakat mengajar anak-anak membaca al-Quran, sekiranya berkesempatan (Insya-Allah ada kesempatan) cubalah membaca tafsir ayat al-Quran yang dibacakan itu. Ini akan menambahkan keyakinan dan menjernihkan jiwa anak-anak. Lebih baik lagi ajarlah anak-anak remaja kita supaya dapat menghafal ayat-ayat al-Quran secara berperingkat. Inipun satu kaedah bagaimana kita dapat membina kekuatan rohani anak-anak kita.

Perhati dan hayatilah peringatan Rasulullah saw mengenai al-Quran semoga kita sebagai ibu bapa terus tekun mendidik anak-anak dalam pembacaan al-Quran.

Kata Nabi saw: "Sungguh, orang yang dalam hatinya tidak terdapat sesuatu pun daripada al-Quran adalah ibarat rumah yang sepi (menyeramkan )." (HR at-Tirmidzi )

Dipetik riwayat daripada Anas ra. yang mengatakan bahawa Rasulullah saw ada bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia.". Kemudiannya Rasulullah ditanya sahabat: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?". Jawab Nabi: "Iaitu ahli al-Quran (orang yang membaca atau menghafal al-Quran dan mengamalkan isinya)."

Mereka adalah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi Allah. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa hendaknya jadikanlah diri kita dan anak-anak sebagai keluarga Allah sebagaimana yang dimaksudkan Nabi dengan memperbanyakkan aktiviti pembacaan al-Quran.

Anak-anak yang terbiasa dengan pembacaan al-Quran sudah tentu mampu meneruskan kehidupan dalam keadaan yang tenteram dan berdaya dinamik. Mereka akan mengetahui apa yang disuruh dan dilarang Allah, sekali gus membentuk perwatakan sahsiah peribadi yang mulia.

Pesan Nabi saw : "Barang siapa membaca satu huruf daripada kitab Allah akan dituliskan baginya kebaikan. Satu kebaikan melahirkan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alif lam mim satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." ( HR at-Tirmidzi )

Bayangkan jika kita berjaya membentuk anak-anak yang mencintai al-Quran dan mengamalkan segala ajarannya, sudah tentu anak-anak kita sentiasa berada di bawah naungan dan perlindungan Allah. Kita sebagai ibu bapa juga turut sama mendapat pahala di atas amal baik anak-anak kita itu.

Marilah kita ingatkan diri kita sendiri sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak kepada satu pesanan Saidina Ali bin Abi Talib: "Orang yang membaca al-Quran dan ia sedang mendirikan solat, maka setiap huruf baginya ada seratus kebaikan.

"Orang yang membacanya dan ia sedang duduk dalam solat, maka setiap huruf baginya ada lima puluh kebaikan.

"Orang yang membacanya di luar solat dalam keadaan suci, maka setiap huruf baginya ada dua puluh lima kebaikan. "Orang yang membacanya di luar solat dalam keadaan tidak suci, maka setiap huruf baginya ada sepuluh kebaikan."

Ini wasiat emas yang sewajarnya membangkitkan diri kita sendiri untuk selalu mengamalkan pembacaan al-Quran, apatah lagi berusaha membina jiwa anak-anak agar mereka tidak lupa dan berenggang dengan al-Quran.

Akhirulkalam wahai saudaraku yang dirahmati Allah, ayuh bersama kita hayati pesanan Nabi ini: "Mereka yang membaca al-Quran dan ia mahir dalam bacaannya adalah bersama malaikat kiramin bararah dan mereka yang membaca al-Quran dan ia gagap dalam bacaannya dan penuh kesusahan baginya dua ganjaran pahala." ( HR Bukhari dan Muslim)

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
* Penulis seorang guru

Sumber : Serikasih


2 comments:

  1. jemput memberi pandnagan pada artikel terbaru sy..mana tahu mungkin kita ada pandangan yg berbeza..t.kasih

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin