Monday, December 14, 2009

Jemaah Tabligh

Ketika awal kehadirannya, ramai yang pelik melihat gelagat mereka yang mengusung beg, periuk, cerek dan pinggan dari satu masjid ke satu masjid. Dengan ketayap putih di kepala dan berjanggut, mereka sering diberi pandangan negatif.

Namun, lama kelamaan apabila jumlahnya semakin ramai, masyarakat mulai sedar mereka adalah kumpulan pendakwah yang dipanggil 'tabligh'.
Penulis turut mempunyai pengalaman diajak keluar bersama-sama menyertai sebahagian gerak kerja dakwah ketika di kampus. Ketika itu ahlinya terdiri daripada pelajar sendiri yang akan melawat dari bilik ke bilik bagi menyampaikan peringatan atau tazkirah pendek yang dirungkai daripada hadis nabi atau ayat al-Quran.

Jadi pada setiap malam selepas solat Maghrib, dua hingga tiga ahli jemaah akan bersama dalam sesi tazkirah yang mereka sampaikan.
Mengikut sejarah, tabligh adalah jemaah Islam yang berpusat di India. Ia ditubuhkan pada akhir dekad 1920-an oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi di Mewat, sebuah wilayah di India.

Tabligh dilahirkan bagi mengajak masyarakat India Muslim yang masih berpegang kepa
da budaya Hindu melaksanakan Islam secara total. Jemaah tabligh memegang kepada manhaj (formula) yang dijadikan dasar penting sebagai rujukan yang dinamakan Ushulus Sittah (enam dasar). Ia merealisasikan kalimat thoibah, solat dengan khusyuk dan khudu' (penuh ketundukan), ilmu dan zikir, memuliakan Muslim, membaiki niat dan mengikhlaskannya serta keluar (khuruj) di jalan Allah. Gerakan ini menjalankan tugas berdakwah tanpa mengambil kira asal-usul mazhab atau aliran pengikutnya.

Jemaah tabligh mempunyai markas di setiap negara dan markas antarabangsa terletak di Nizzamudin, India. Setiap markas daerah dipimpin seorang shura dan kemudian membentuk ratusan markas kecil yang dinamakan halaqah.
Kegiatan halaqah adalah perjumpaan mingguan, sebulan atau mereka keluar (khuruj) selama tiga hari. Khuruj bertujuan meluangkan sepenuh masa berdakwah di masjid atau surau dengan dipimpin Amir. Ketika ini, mereka banyak menghabiskan masa membaca hadis atau kisah sahabat yang biasanya dipetik daripada kitab Fadhail Amal karya Maulana Zakaria. Kemudian mereka mengunjungi (jaulah) rumah ke rumah dan bermuzakarah.

Sepanjang tempoh khuruj itu, mereka akan tinggal sementara di masjid atau surau.
Mereka memasak makanan sendiri dan makan beramai-ramai dalam talam besar. Jemaah tabligh mengabdikan sepenuh jiwa raga untuk agama dan tidak menyentuh perkara berkaitan politik. Justeru, mereka dianggap kumpulan yang sukakan perdamaian. Namun, bukan mudah untuk menjadikan seorang dalam jemaah tabligh yang tekun kerana memerlukan kekuatan diri terutama meninggalkan rumah tangga, isteri dan anak untuk tempoh beberapa hari.

Memang bukan perkara mudah melakukan perkara kebaikan kerana syaitan sentiasa membisikkan perkara yang melalaikan. Usaha jemaah tabligh keluar berdakwah nampak mudah, tetapi terpaksa melalui jalan berliku terutama pandangan masyarakat. Ada yang diherdik, dimaki, dihalau malah dianggap kutu rayau ketika melakukan tugas dakwah itu. Malah, ada umat Islam sendiri yang menyindir supaya mereka berdakwah kepada golongan bukan Islam daripada menyibuk datang dari rumah ke rumah. Malah ada juga yang menyarankan aktiviti tabligh diharamkan di Malaysia kononnya ia boleh menyebabkan kemunduran umat Islam.

Justeru, jemaah tabligh memang dilatih menjadi penyabar kerana perkara itu memang sudah dijangka.
Bagaimanapun, jemaah tabligh membuktikan mereka berjuang dengan rela hati apabila sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari, seminggu, 40 hari atau empat bulan untuk mengembangkan agama Allah. Mereka antara manusia bertuah kerana memperuntukkan sebahagian usia kepada agama, sedangkan ramai manusia berebut-rebut mencari habuan keduniaan.

Bukan semua sanggup berjauhan lama dengan anak dan isteri melakukan kerja dakwah sebegini. Namun, jemaah tabligh yakin cara dakwah mereka menepati perbuatan Rasulullah s.a.w. Perkara paling penting dalam berdakwah mengikut cara tabligh adalah keikhlasan. Kemuncak jemaah tabligh di negara ini ialah perhimpunan 200,000 ahli kumpulan itu dari seluruh dunia yang berkampung di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sempena ijtimak Tabligh Sedunia, baru-baru ini.

Jemaah tabligh daripada lebih 40 negara hadir yang membentuk saf solat bermula dari barisan hadapan hingga ke belakang sepanjang lebih satu kilometer (km) manakala setiap saf sepanjang 500 meter.
Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata jemaah tabligh membuktikan mereka dapat mengumpulkan umat Islam dari seluruh dunia. Ini satu perkara yang hebat.

"Namun, mereka perlu mengembang peranan dakwah, tidak hanya di masjid atau surau sebaliknya meluaskan jaringan itu kepada remaja bermasalah, vandalisme, penjara dan pusat pemulihan akhlak. Cabang dakwah ini luas dan ia perlu diperkemaskan supaya orang ramai dapat menerima cara penyampaian dakwah kita. Mereka juga boleh mengetengahkan cabang dakwah melalui penulisan dan kebajikan. Nabi Muhammad s.a.w berdakwah kepada semua peringkat umur dan latar belakang," katanya.

Zamihan berkata melalui kepelbagaian bentuk dakwah itu seseorang boleh menyampaikannya di mana-mana saja tanpa terhad kepada sebarang waktu.
"Kewajipan memperingati sesama umat itu terletak di setiap bahu kita. Dakwah yang sebenarnya tidak terhad di masjid atau di surau saja. Kelompok utama yang perlu kita hampiri adalah di kalangan ahli keluarga kita terlebih dulu sebelum melakukan dakwah kepada individu lain," katanya.

Mengenai keluar (khuruj) berdakwah ke tempat lain, ia bergantung kepada kemampuan diri. Jika mempunyai banyak tanggungjawab, utamakan keluarga dahulu sebelum perkara lain.
"Jika kita keluar menjalankan tanggungjawab berdakwah, tetapi pada masa sama membiarkan isteri dan anak terabai, hukumnya haram. Setiap individu juga mempunyai tugas besar terhadap kerjaya dan pelajaran. Pastikan tanggungjawab itu diutamakan," katanya. Menurutnya, kehadiran jemaah tabligh di masjid atau surau untuk kerja dakwah diharuskan, tetapi mereka perlu menonjolkan disiplin tinggi bagi membolehkan orang lain menghormati mereka.

"Contohnya bersugi, ia memang amalan mereka, tetapi jangan dilakukan tanpa mengira tempat hingga menyebabkan orang lain tidak senang melihatnya.
Pakaian dan penampilan diri mesti menggambarkan kualiti pendakwah yang Islam mahukan," katanya. Namun, beliau menganggap jemaah tabligh sudah menjalankan tanggungjawab mereka, sekurang-kurangnya memberi impak kepada usaha mengembangkan Islam secara terbuka.

"Dalam menyampaikan dakwah, jangan kecewa atau marah apabila orang lain tidak menerima pendekatan kita. Apa yang penting penyampaian dakwah itu sudah dilaksanakan.
Sentiasa melihat kelemahan diri sendiri kerana Rasulullah s.a.w yang maksum pun memohon bertaubat 100 kali sehari, apatah lagi kita manusia biasa," katanya.

Sumber : Harian Metro
Oleh : Mohd Fadly Samsudin


3 comments:

  1. salam kak...dulu pernah sekali org tabligh pi umah ajak pi masjid....depa ketuk pintu umah...lagi kita tak kuaq dok ketuk situ la...sampai kita kuaq...

    ReplyDelete
  2. knapa manusia pelik ble dgr tabligh..
    hurm

    ReplyDelete
  3. salam kenal dari ummi fathur lihat www.masturat.wordpress.com

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin