AR-RUBAI binti An-Nadhr ialah seorang wanita yang baik. Beliau mempunyai adik-beradik iaitu Anas dan Ummu Hakim. Dia juga mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Anas bin Malik. Beliau adalah pembantu kepada Nabi Muhammad. Ar-Rubai merupakan wanita yang awal memeluk agama Islam.
Ar-Rubai berkahwin dengan Suraqah bin al-Haris an-Najjari. Hasil perkahwinan mereka lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Harisah. Ar-Rubai atau dikenali dengan panggilan Ummu Harisah adalah seorang ibu yang pandai mendidik anaknya. Ar-Rubai selalu mendoakan agar anak lelakinya itu menjadi seorang pahlawan Islam yang handal.
"Harisah, sekarang awak sudah besar. Ibu mahu awak ikut Nabi Muhammad dalam siri peperangan," kata Ummu Harisah. "Ibu, saya belum biasa memegang pedang. Apatah lagi menunggang kuda atau memanah," balas Harisah pula. "Itu tidak menjadi masalah. Nabi Muhammad boleh menolong awak. Ibu percaya Nabi Muhammad boleh menyelesaikan masalah awak ini," kata Ummu Harisah. "Baik ibu. Saya akan belajar bersungguh-sungguh teknik dan cara peperangan yang betul," jelas Harisah dengan bersemangat. Harisah seorang anak yang baik dan taat kepada ibunya. Berkat nasihat dan doa dari ibunya, Harisah akhirnya menjadi seorang pemuda yang gagah berani. Anaknya itu tidak gentar menghadapi musuh. Bahkan anaknya sering mengharapkan agar dirinya mati syahid di medan perang.
Pada suatu hari Nabi Muhammad berjumpa dengan Harisah lalu bertanya, "apa khabar awak sekarang?" Lalu Harisah menjawab, "Saya sihat dan sejahtera. Saya kini sudah benar-benar merasakan betapa agungnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Hidup dan mati saya hanya kerana Allah," kata Harisah. Nabi Muhammad pun berkata lagi, "hati awak kini sudah dipenuhi dengan keimanan kepada Allah". Harisah bertambah semangat mendengar kata-kata Nabi Muhammad lalu dia menyambung lagi, "Wahai Nabi Muhammad saw, tolong doakan semoga saya berjaya mengalahkan musuh di medan perang. Sekiranya saya gugur di medan perang, doakan saya gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid".
Nabi Muhammad saw pun mendoakan semoga Harisah menjadi seorang yang syahid dalam peperangan melawan musuh Islam. Tiba masanya tentera Islam menghadapi musuh di Perang Badar pada tahun 2 Hijrah. Ummu Harisah tidak mahu anaknya melepaskan peluang keemasan itu. "Wahai Harisah, pergilah ikut Nabi Muhammad dan tentera Islam yang lain ke medan perang Badar. Berjuang sehabis-habisan demi menegakkan agama Islam," kata Ummu Harisah kepada anaknya. "Doakan semoga tentera Islam berjaya di medan perang Badar," kata Harisah sambil berjabat tangan lalu mencium tangan ibunya.
Harisah pun berangkat bersama angkatan tentera Islam ke medan Perang Badar. Perang Badar berlaku kerana umat Islam ingin mempertahankan keselamatan orang Islam. Pihak Quraisy Mekah tidak serik menindas dan mengancam orang Islam Makkah pada masa itu. Berkat doa Nabi Muhammad akhirnya Harisah mati syahid di medan Perang. Berita kematian anaknya sampai kepadanya. Ummu Harisah menerima berita itu dengan tenang. Dia berdoa semoga anaknya dimasukkan ke syurga.
Ummu Harisah terus berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu berkata, "wahai tuan, bagaimana keadaan Harisah. Sekiranya dia kini berada di syurga alangkah gembiranya saya. Tetapi jika sebaliknya saya amat sedih mendengar kematiannya". Nabi Muhammad tersenyum lebar lalu berkata, "Wahai Ummu Harisah, anak awak kini sedang berseronok di syurga Firdaus". Alangkah gembiranya Ummu Harisah apabila Nabi Muhammad membawa berita itu. "Alhamdulillah. Cita-cita Harisah untuk mati syahid akhirnya tercapai. Harisah kini bahagia di syurga yang paling tinggi," kata Ummu Harisah sendirian.
Ummu Harisah tidak ketinggalan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Anak saudaranya yang bernama Anas bin Malik juga turut melaporkan hadis darinya. Sepanjang hidupnya Ummu Harisah banyak menghabiskan masanya dengan melakukan amal ibadah kepada Allah.
Sumber : Utusan Malaysia
Tuesday, December 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalam,
ReplyDeleteAlangkah bahagianya para sahabat terdahulu yg dijamin syurga untuk mereka. Kita ini belum pasti lagi. Kejayaan sebenar adalah kejayaan di akhirat.