Tuesday, October 27, 2009

Perjalanan Hebat Tetamu Allah

Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia akan memulakan ‘pengembaraan’ mereka bersama jutaan umat Islam di seluruh dunia bagi mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini.

Sebagai tetamu Allah, ia adalah satu perjalanan yang begitu hebat. Di sana umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status akan bersama-sama memulakan ‘misi’ penting melakukan satu persatu ibadat tertentu bagi membuktikan mereka hamba yang kerdil kepada pencipta-Nya.


Firman Allah swt yang bermaksud, “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam).”


Keberangkatan ke Tanah Suci sudah pasti memberi keinsafan tersendiri apatah lagi bagi jemaah yang mungkin pengalaman pertama.
Selama 44 hari di tanah suci pelbagai pengorbanan perlu dilalui tetamu Allah termasuk wang ringgit, meninggalkan keluarga, pekerjaan selain memastikan kesihatan di tahap terbaik. Dengan iringan doa, setiap tetamu 'jemputan' Allah ini berharap mereka dapat menunaikan ibadat wajib berkenaan dengan sempurna dan pulang dengan haji mabrur.

Mengikut sejarah awal, ibadat haji ini dibawa junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu usaha menyambung ajaran Nabi Ibrahim as. Mengerjakan haji ini mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah.


Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Allah swt mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk.”

Pada permulaan ibadat itu, Rasulullah saw bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah tetapi gagal mengerjakannya kerana dihalang kaum Quraisy sehingga termeterai Perjanjian Hudaibiah yang membuka jalan bagi mengembangkan Islam.
Selepas perjanjian itu, pada tahun berikutnya, tahun ke-7 Hijrah, 2,000 umat Islam mengerjakan umrah bersama-sama Nabi Muhamad s.a.w.

Namun, haji yang sempurna hanya dapat dilakukan pada tahun ke-9 Hijrah apabila Rasulullah saw mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengepalai 300 umat Islam mengerjakan haji.
Sepanjang hayat Nabi Muhammad saw, baginda menunaikan fardhu haji sekali saja. Haji itu dinamakan ‘Hijjatul Wada’, Hijjatul Balagh dan Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji berkenaan baginda wafat.

Rasulullah berangkat ke Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat seramai lebih 90,000 orang.
Baginda melakukan amalan seperti sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali iaitu 10km dari Madinah. Rasulullah sampai di Makkah pada 4 Zulhijjah selepas melakukan perjalanan selama 9 hari.

Kemudian baginda berangkat ke Mina pada 8 Zulhijjah dan bermalam di situ.
Pada 9 Zulhijjah Rasulullah berwukuf di Arafah yang pada hari itu jatuh pada hari Jumaat dan merayakan Aidiladha di sana. Rasulullah saw menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Pada hari terakhir pada 14 Zulhijjah, baginda meninggalkan Makkah pulang ke Madinah.

Oleh : Mohd Fadly Samsudin
Sumber :
Harian Metro

4 comments:

  1. PROMOSI MUSLIM TOUR
    “Maghi Pakat Gi Jale”
    Tel: 609-747 9999

    TIANJIN-BEIJING
    6DAYS 5NIGHT
    HARGA DARI RM340

    ReplyDelete
  2. Salam, insyaALLAH dalam kitab fadhael e haj by maulana zakariyya ada kisah Nabi saw buat haji dgn lebih terperinci.
    Tiap2 kali dgr org pegi haji, kita pun nak pegi jugak!!Tak puas2 rasanya...

    ReplyDelete
  3. bestnyer nak gi haji..bilala masaku pula??

    ReplyDelete
  4. Errr .... ada plak promosi kat sini yee *musykil* ;)

    umma-ali & karkunah,
    Best kan kalau Allah pilih kita jadi tetamuNya ...

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin