Monday, July 13, 2009

Peserta Asing Puji Malaysia Aman


NILAI 12 Julai – Rakyat asing yang menyertai Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia atau Ijtimak 2009 yang berakhir hari ini gembira dan bersyukur perhimpunan itu berlangsung dengan jayanya.

Rata-rata mereka yang ditemui memuji keadaan negara yang aman, sekali gus membolehkan amal ibadat disempurnakan dalam suasana selesa dan tenang di sini. Salah seorang jemaah yang ditemui, Mohamad Ibrahim, 60, dari Hebron, Palestin, gembira berada di negara yang aman damai dan dapat menunaikan amal ibadat tanpa ada sekatan.

“Saya gembira berada di sini, kami dapat menemui rakan-rakan daripada pelbagai negara bagi mengikuti program ijtimak. Saya berdoa agar Allah SWT memberi rahmat kepada negara ini agar sentiasa aman dan dilindungi setiap masa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Ghani Naghorghani, 47, dari Myanmar juga gembira berada di negara yang membangun dan aman dengan rakyat pelbagai kaum. ‘‘Pembangunan di negara ini cukup membanggakan, walaupun terdapat perbezaan kaum ia tidak menghalang kami untuk melakukan aktiviti seperti ini. Saya berharap perhimpunan seperti ini yang diadakan setiap enam bulan dapat diadakan di negara ini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Abdul Halim Thabit, 50, dari China pula, percaya kebebasan beragama di negara ini membolehkan rakyatnya menjalankan aktiviti keagamaan tanpa halangan. “Ini merupakan negara terbaik yang pernah saya kunjungi kerana walaupun terdapat pelbagai kaum di sini, tidak ada halangan bagi umat Islam untuk melaksanakan tuntutan agama,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat menyertai ijtimak tersebut. Ketibaan baginda di lokasi ijtimak berhampiran kuarters kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Turut menyambut baginda ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Baginda kemudiannya menyertai solat Zuhur bersama-sama lebih 200,000 jemaah tabligh dan mendengar tazkirah sebelum berangkat pulang.

Ijtimak yang menghimpunkan jemaah dari dalam dan luar negara itu kali kedua diadakan di negara ini selepas 27 tahun lalu. Kali pertama ia diadakan di Terengganu dengan kehadiran lebih 50,000 orang.

Oleh: Farabi Sheikh Said Al Jabri
Sumber: Utusan Malaysia

Untuk Karkuzari Ijtimak, klik link di bawah:

http://princeghostz.blogspot.com/2009/07/ijtimak-tabligh-seluruh-dunia.html
http://radenhalim.blogspot.com/2009/07/satu-jawapan-setelah-pulang-dari.html
http://azharjaafar313.blogspot.com/2009/07/karkuzari-ijtimak-1.html
http://asqalani.blogspot.com/2009/07/tahniah-ijtimak-malaysia-2009.html
http://rahba81.blogspot.com/2009/07/laporan-karkuzari-ijtimak-malaysia-2009.html
http://ghostridermujahid.blogspot.com/2009/07/ijitma-malaysia-2009satu-rahmat-allah.html



(Link akan di update dari masa ke semasa, Insya-Allah)

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin