Ada rasa nak buat maksiat? Sebagaiman manusia yang terdedah dengan godaan syaitan, pasti dalam kehidupan kita akan ada bisikan-bisikan busuk untuk ingkar kepada Allah SWT. Syaitan akan mengajak kita untuk cuba mengenepikan arahan Allah. Ya, kita tahu perkara yang ingkar itu. Ya, kita tahu itu larangan Allah SWT.
Kenapa kita mahu buat?. Sebab nak cuba. “Ala, takkan sekali pun tak boleh?” Itulah yang Syaitan akan detikkan dalam diri kita. Kita teringin hendak mencuba. Teringin sangat. Maka di sinilah saya mengajak diri kita, untuk menentang ajakan ini habis-habisan. Hal ini kerana, apabila kita membuka ruang kepada syaitan, kepada kemungkaran untuk bertapak dalam kehidupan kita, maka mereka akan masuk dengan gelojoh, dan habis-habisan akan merosakkan kita. Guru saya kata, “Seperti air paip yang tercabut pemutarnya, air terus menerus keluar tanpa henti”. “Susah la macam tu”.
Mungkin itulah rungutan yang akan keluar keluar daripada diri kita. Ya, memang sukar. Saya tidak pernah kata kehidupan ini mudah. Hidup ini satu ujian, kesukaran di dalamnya adalah satu cubaan. Sebab itu kita perlu bermujahadah, berjuang dalam melalui cubaan yang sukar ini. Inilah pembuktian kita terhadap kebenaran iman kita kepada Allah SWT.
Di sinilah letaknya pembuktian kita tehadap ketaatan kita kepada-Nya. “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”(Al-Ankabut : 2-3).
Kita, tidak menyimpan rasa redha, rasa suka, apabila kemungkaran, syaitan, melekat dalam hati kita. Kita rasa jijik dengan pengingkaran terhadap Allah. Sebagaimana kita membasuh punggung kita sebaik sahaja kita selesai buang air, maka begitulah kita membasuh hati kita sebersih-bersihnya apabila terbuat dosa. Kita istighfar, meminta ampun bersungguh-sungguh, walaupun dosa itu dosa kecil, kerana jijiknya kita dengan dosa itu.
Adakah dengan dosa, kita perlu ada toleransi? Saya boleh terima toleransi dengan ‘orang yang berdosa’, tapi saya tidak pernah terima toleransi dengan ‘dosa’. Sebab kita tidak punya toleransi dengan ‘dosa’ lah kita cuba mengajak ‘orang yang berdosa’ dengan toleransi yang menawan hati. Kita tidak pernah redha dengan ‘dosa’, sebab itulah kita mahu ‘dosa’ itu pergi meninggalkan ‘orang yang berdosa’.
“Dan siapakah lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat : 33). Apabila kita ini memberikan peluang kepada dosa untuk melekat di dalam hati kita, maka dosa itu akan merabak, menjamah dan memakan juzu’ hati kita yang lain.
Ketika saya kecil, saya sering membaca kisah berkenaan seorang abid. Abid itu beribadah kuat. Dia mempunyai adik yang suka bermaksiat. Satu hari, syaitan membisikkan kepadanya agar dia mengikuti adiknya berbuat maksiat. Syaitan berkata, “Pahala kau sudah banyak ni, apa kata kau buat maksiat sikit. Tak ada apa-apa punya”. Maka bersiaplah si Abid ini, lalu keluar dari rumahnya. Mengikut ceritanya, selepas itu, dia terjatuh dari tangga rumahnya, dan kebetulan dia menghempap tubuh adiknya yang suka berbuat maksiat tadi. Adiknya itu sebenarnya sedang hendak menaiki rumanya kerana hendak bertaubat. Maka matilah Si Abid ini, dalam kemaksiatan kepada Allah SWT, manakala adiknya mati dalam keadaan hendak bertaubat.
Rugi… Sungguh rugi. Kita juga perlu ada rasa sedemikian. Kita tidak tahu kita mati bila, maka kita tidak boleh membuka ruang untuk maksiat merosakkan kehidupan kita. Hati ini akan diwarnakan dengan titik hitam setiap kali melakukan maksiat. Maka, bila kita membukanya kepada maksiat, dia akan semakin hitam, hitam dan hitam. Hingga akhirnya, hati itu sakit, menjadi tidak peka, dan hilang sensitifnya terhadap arahan Allah.
Kita akan melihat bahawa kita ula meringan-ringankan solat, meninggalkan bacaan Al-Quran dan tidak berapa suka dengan kebaikan. Lama-kelamaan, hati akan mati, sebelum kita sedari. Syaitan, akan menarik kita perlahan-lahan, penuh dengan kehalusan. Sebab itu, kita perlu sentiasa berjaga-jaga. Ada satu lagi cerita popular, berkenaan Abid yang disuruh Syaitan melakukan dosa. Syaitan menyuruhnya membunuh, tetapi dia tidak mahu. Katanya, membunuh itu dosa besar. Syaitan menyuruhnya berzina, maka dia berkata tidak mahu, kerana berzina itu dosa besar.
Akhirnya, syaitan menyuruhnya agar minum arak sahaja. Abid setuju, kerana meminum arak bukan dosa besar. Namun, dia mabuk selepas meminum khamar itu. Selepas itu, dalam mabuknya dia berzina dengan seorang perempuan. Bila tersedar, dia takut akan perbuatan terkutuknya diketahui, dia membunuh perempuan itu. Akhirnya dia ditangkap. Bila dia ditangkap, dan hendak dihukum mati, syaitan telah datang kepadanya. “Kalau kau hendak selamat, maka sujudlah kepada aku!” Abid itu setuju.
Namun Syaitan tidak pula melepaskannya. Akhirnya Abid itu mati dalam kekufuran. MasyaAllah… Kita buka sedikit sahaja, maka Syaitan akan menguak, membukanya lebih luas lagi. Di sinilah perlu kita berjaga-jaga. Bukan untuk sesiapa. Untuk diri kita juga. Hal ini kerana, kita ini datang daripada Allah, balik pun hendak pergi bertemu Allah, maka sudah pastilah hidup kita ini kerana-Nya. Maka, apakah boleh bercampur ketaatan dengan keingkaran? Orang Jordan kata: “Musy Ma’ Gul” atau maksudnya “Mustahil”.
Sama-samalah kita muhasabah, dan peringatkan diri kita. Mari tutup 'pili air maksiat' kita rapat-rapat.
sumber: LangitIlahi.com
Friday, July 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam.. begitulah hendaknya kita mengambil iktibar daripada kisah2 ahli ibadat di atas dan ayat2 suci al-Quran.. semoga titik2 hitam dalam qalbun kita dapat dihapuskan dengan usaha yang gigih melawan nafsu..
ReplyDeletesy benar2 perlu kan kekuatan.....
ReplyDeleteYa Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu..
* dari hati yang tidak tenang..
* dari doa yang tidak didengar olehMu..
Werdah,
ReplyDeleteYa, banyakkanlah zikrullah. Kerana zikir itu pencuci bagi hati, Insya-Allah.
^inas^,
Kita semua lemah, kerana kita semua adalah hamba. Hanya Dia yang maha berkuasa, maha besar. Allah khaliq, Allah Malik. Mintalah hanya padaNya ... Subhanallah.
sesungguhnya hati dan nafsu tidak dapat lari dari melakukan kemaksiatan terhadap Allah Taala..Moga dengan sifat Rahim dan Rahman Allah, DIA mengampuni kelemahan dan kekuranagn kita semua..amin, INsyaAllh..
ReplyDeleteassalamu'alaykum warohmatullahi wabarokaatuh
ReplyDeleteYaa Allah.. Yaa Malik.. Lindungi kami dari segala perilaku yang membuat-Mu murka..
Amiin ya Allah..
karkunah & namaku ina,
ReplyDeleteAmin, amin ya Allah ...