Friday, July 10, 2009

Hafal Al-Quran Lupa Derita

SEMASA tiba di Rumah Perlindungan Anak Yatim dan Tsunami, Walyatama, Aceh, dalam program lawatan bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan media tempatan, minggu lalu, sekumpulan kanak-kanak sedang bersantai di sebuah wakaf.

Ada yang membaca al-Quran, ada menghafal puisi, membaca buku cerita dan mewarna. Sekali-sekala kedengaran hilai tawa mereka. Biarpun kita mampu melihat kegembiraan terpapar di wajah kanak-kanak itu, kita tidak memahami betapa beban yang mereka tanggung selama ini amat berat sekali.

Kumpulan berusia empat hingga 12 tahun itu adalah segelintir daripada ribuan kanak-kanak yang kehilangan ibu dan bapa mereka akibat bencana Tsunami yang melanda Aceh pada pagi 26 Disember 2004 lalu. Selepas lebih lima tahun dilanda musibah itu, semangat mereka meneruskan kehidupan semakin pulih biarpun hanya rakan senasib yang menjadi tempat mengadu.

Rombongan itu diketuai Pengurus Negara IRM, Zawahir Abdullah; Pemegang Amanah IRM, Marihah Suhaimi; Penasihat Media IRM, Tuan Asmawi Tuan Umar; wartawan Harian Metro, Kamarulzaman Pid; juru kamera Bernama, Mohammad Ariffin dan pembantu produksi Bernama, Muhammad Farish Ismail.

Bagi Rahmat Salleh, 12, rumah perlindungan itu menjadi tapak untuknya mencapai cita-cita sebagai seorang hafiz al-Quran. "Saya banyak menghabiskan masa selepas sekolah menghafal Quran. Kadang-kadang seorang diri, kadang-kadang bersama rakan lain. Hanya cara ini dapat bantu saya melupakan kenangan pada orang tua yang sudah tiada," katanya.

Rakannya, Hefrijon Faryansyah, 12, berkata, dia lebih berminat menjadi pakar dalam tafsir al-Quran. "Ustaz di sini banyak membantu saya untuk mempelajari cara mentafsir Quran dengan lebih bagus. Memang mulanya agak susah tapi mereka bagi semangat dan sejak dua minggu lalu, saya mampu mentafsir surah Al-Baqarah dengan lancar," katanya.

Biarpun miskin keluarga, semangat mereka untuk maju dalam pelajaran tidak pernah pudar. Ini dibuktikan Shaaban Hassan, 12, yang kini berada di Kelas 6, apabila menduduki tempat pertama dalam peperiksaan di sekolahnya. "Saya tahu hanya saya yang boleh bantu keluarga, tidak ada orang lain. Jadi, saya mesti berusaha lebih kuat dalam pelajaran dan mahu lanjutkan pelajaran ke universitas," katanya.

Seorang tenaga pengajar di rumah perlindungan itu, Abdul Wahab Furqon, berkata mereka amat bersyukur apabila Islamic Relief memberikan bangunan berupa sebuah bangunan yang lengkap dengan peralatan kepada mereka untuk digunakan sebagai asrama kepada anak yatim dan mangsa tsunami itu.

"Sumbangan ini amat bermakna kepada kami bagi memberi keselesaan kepada anak-anak ini. Kami juga amat bangga dengan mereka kerana sekalipun mereka anak yatim, tapi itu bukan alasan bagi mereka untuk tidak beroleh kejayaan dalam pelajaran," katanya.

Namun begitu, Abdul Wahab berkata, pihaknya masih memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi menampung perbelanjaan kira-kira 30 anak yatim yang tinggal di rumah perlindungan itu. "Dalam sehari, kita membelanjakan 300,000 Rupiah bagi semua mereka untuk perbelanjaan harian termasuk wang saku di sekolah.

"Ini tidak termasuk perbelanjaan seperti buku, pakaian dan peralatan lain," katanya. Berikutan itu, katanya, mereka mengusahakan ternakan itik telur atau bebek sebanyak 200 ekor di kawasan berhampiran yang disumbangkan penduduk tempatan.

"Daripada hasil jualan telur itik kepada peruncit di sini, kami dapat menampung perbelanjaan anak-anak ini tetapi kami berharap mereka yang bersimpati dengan nasib mereka sudi menghulurkan bantuan," katanya.

Oleh: Kamarulzaman Pid
Sumber: Harian Metro

P/S: Semoga roh ibu bapa mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman .... Sesungguhnya Allah swt lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambanya.

2 comments:

  1. ada hikmah tersembunyi di sebalik musibah..

    semoga mereka menjadi anak2 yang soleh dan solehah

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin