Kehidupan manusia di dunia ciptaan Allah bersifat sementara. Nabi Muhammad saw pernah mengibaratkan bahawa hayat manusia di atas muka bumi ini seperti seorang pengembara. Apabila tiba masanya, dia diminta pulang bersama tujuan pengembaraan.
Abdullah bin Umar r.a berkata, Rasulullah saw memegang bahuku seraya berkata: “Jadikanlah diri kamu di atas muka bumi ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibnu Umar berkata: "Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu menjelang waktu pagi. Apabila kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu menjelang waktu petang. Gunakanlah peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa hidup untuk persediaan matimu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Jelas, bekalan yang perlu dibawa ke negeri akhirat sebagai mana dikehendaki Allah bakal menentukan ke arah mana harus ditujui. Memilih syurga bererti memilih pengorbanan yang perlu dilakukan di dunia ini. Pengorbanan untuk mencari jiwa yang murni dengan menjadi insan yang sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menghindari larangan-Nya. Dua cabaran utama harus dihadapi iaitu kehendak syahwat dan godaan iblis yang berjanji untuk mengheret sebanyak mungkin manusia ke dalam kelompoknya.
Firman Allah bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan menggalakkan kamu berbuat kejahatan sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurniaan. Dan Allah Maha Luas kurniaan lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 268) Sebagai umat Islam, kita berpegang bahawa al-Mizan iaitu alat timbangan Allah swt mampu mengakses dan menimbang buku amalan catatan sama ada yang baik atau sebaliknya.
Bergembiralah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kanan di hari akhirat kelak. Umat Islam harus memahami segala tindakan, perbuatan, perkataan dan perwatakan peribadi adalah dikira ibadat jika diniatkan kepada Alah seperti firman bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam kitab amalnya).” – (Al-Zalzalah: 7-8)
Setiap amalan akan yang dicatatkan adalah bekalan untuk dibawa ke akhirat. Seorang penjual pasar malam yang menjalankan urus niaga dengan jujur dan mengutamakan keuntungan sederhana demi memenuhi keperluan pengguna pun turut dijanjikan pahala. Seorang isteri mentaati perintah suami yang tidak bertentangan dengan syariat Islam serta melayan suami dengan baik, dijanjikan pahala dan keampunan Allah.
Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanya laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah hingga ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaannya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknat hingga ia pulang.” (Hadis riwayat Al Bazzar)
Begitu juga perbuatan membuang benda boleh membahayakan orang ramai yang lalu-lalang di jalan. Harga keselamatan orang yang melalui jalan itu walaupun perbuatannya dianggap remeh, sebenarnya mengundang keampunan Allah kepada pelakunya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan ternampak ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya.” (Sahih al-Bukhari)
Menyesali waktu yang lepas adalah perkara sia-sia. Justeru, menjadikan hari ini sebagai permulaan untuk membetulkan kesilapan lalu adalah jawapan yang mungkin membawa kita ke ruang keinsafan dan mengundang perubahan.
Sumber : serikasih.blogspot.com
:)
ReplyDeletemoga Allah swt dengan kasih sayangnNya.. menanamkan cinta akhirat dalam hati kita semua..
ReplyDelete