Friday, November 16, 2012

Darjat, Pangkat Bukan Jaminan Masuk Syurga


Rasulullah SAW bersabda bahawa orang fakir masuk syurga lebih dulu selama beberapa waktu daripada orang kaya. Boleh jadi, hal ini tidak berlaku umum kerana sebahagian orang kaya ada yang termasuk orang sentiasa bersyukur, memuji, mengabdi dan membenarkan Allah SWT. Mereka memiliki keutamaan yang besar serta konsisten dalam ketaatan dan pengabdian.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Takutlah kepada Allah dalam hal orang fakir kerana pada hari kiamat, Allah SWT berfirman: Di mana makhluk pilihan-Ku? Malaikat menjawab: Wahai Tuhanku, siapakah mereka? Allah SWT berfirman: Orang fakir yang sabar dan rela terhadap takdir-Ku. Mereka akan Aku masukkan ke dalam syurga. Rasulullah SAW melanjutkan sabdanya: Kemudian orang fakir itu masuk syurga lalu makan dan minum, sementara orang kaya masih sibuk dalam penghitungan amal mereka.”

Imam Tirmizi meriwayatkan hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang fakir yang berjuang di jalan Allah akan masuk syurga sebelum orang kaya, dengan jarak 500 tahun.” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah)
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang fakir akan masuk syurga terlebih dulu daripada orang kaya, selama setengah hari akhirat, iaitu 500 tahun dunia.” (HR Tirmizi) Ia berkata hadis ini hasan sahih.

Hadis itu menunjukkan satu makna bahawa orang fakir akan masuk syurga lebih dulu. Dengan catatan mereka termasuk orang yang sabar, mengabdi kepada Allah, rela dan sabar terhadap kefakiran mereka selama hidup di dunia sehingga dari lisan mereka keluar kata-kata pujian kepada Allah bersyukur serta menghambakan diri kepada Allah.

Mereka inilah orang yang akan memperoleh kemuliaan pada hari kiamat, ketika mereka masuk syurga. Pada hari kiamat nanti Allah akan berfirman kepada orang yang sabar terhadap kefakirannya yang bermaksud: “Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu kerjakan pada hari yang telah lalu.” (Surah Al-Haqqah, ayat 24) Ertinya, kesusahan yang telah engkau peroleh di dunia kerana fakir, benar-benar terasa perih buat kamu. Hal itu bukan cita-cita dan keinginan kamu tetapi semata-mata kehendak Allah.

Berapa banyak ayat Allah yang mendorong orang mukmin rajin menabung dengan tabungan amal kebajikan. Allah akan melipatgandakan tabungan itu selama di dunia dan mereka dapat memetik hasilnya berupa pahala yang besar di akhirat nanti.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 245)

Banyak ayat al-Quran yang mengisyaratkan adanya kelebihan dan perbezaan darjat dalam segala sesuatu, bahkan antara para malaikat Al-Muqarrabun, Nabi dan Rasul. Demikian juga, antara manusia pada umumnya. Ini ketentuan Allah (sunnatullah) terhadap makhluk-Nya dan kesempurnaan hikmah dari Allah.
Hakikat kelebihan dan perbezaan darjat ini tidak terletak pada ketakutan seseorang kepada Allah. Hal ini terjadi semata-mata kerana ilmu dan keutamaan dari Allah. Sedangkan, kelebihan manusia adalah kerana amal, ilmu, ijtihad dan kesabarannya.

Antara nabi, ada yang dikenali sebutan Ulul Azmi, sedangkan sebahagian lain tidak memperoleh sebutan demikian. Sebahagian manusia ada yang menjadi pejuang (mujahid), mempunyai keutamaan tetapi sebahagian tidak memiliki semua itu.

Oleh itu, antara manusia ada memperoleh darjat dan kelebihan dari Allah yang berbeza dengan yang lainnya. Hal ini berdasarkan ketinggian darjat manusia dan amal perbuatannya selama di dunia.
Buku Bidadari, Syurga dan Penghuninya

Sumber : http://www.islamituindah.my/darjat-pangkat-bukan-jaminan-masuk-syurga



Saturday, February 18, 2012

Terdidik Kerana Sebiji Tembikai

Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.


Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?." Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.


Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya: "Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya
terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya."


Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Waalahu'Alam.



Saturday, September 24, 2011

Sedekah Tambah Rezeki

APA perasaan anda, seandainya ketika sedang makan di kedai atau di warung tiba-tiba datang orang meminta sedekah menghampiri anda.

Dia meminta duit derma daripada anda tetapi badannya sihat sambil dipimpin seseorang sambil menadah tangan. Anda sedekah atau tidak kepadanya? Kalau anda beri duit kepadanya sama ada ikhlas atau pun sebab malu pada orang di sekeliling yang melihat anda? Selepas anda menderma apakah perasaan anda? Seronok atau berasa rugi?

Kalau berasa menyesal itu memang kedekut jawabnya. Alhamdulillah orang kita suka menderma, suka membantu dan menolong, mungkin kerana roh iman dan Islam yang menyala di dalam hati dan sanubari.

Ia menjadi pendorong utama ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang memang lembut hati. Hulurkan derma janganlah terlalu berkira sangat. Tidak miskin pun jika kita beri sedikit pemberian itu dan tidak kaya mana pun mereka dengan yang dapat duit derma kita. Sebenarnya orang kaya ialah orang yang suka memberi.

Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Rasulullah saw pernah berhutang kerana mahu memberi. Kali ini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan membantu dan menderma terutama kepada fakir miskin.

Siapa sebenarnya yang dikatakan fakir miskin itu supaya derma kita itu betul-betul disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Fakir dan miskin adalah orang yang tidak memiliki apa yang cukup untuk belanja seharian misalnya mereka tidak memiliki beras, lauk dan keperluan asas yang lain.

Mungkin mereka ada pekerjaan tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi, kos sara hidupnya dan bebanan keluarga, sebagaimana firman Allah: “Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merosakkan bahtera itu, Kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.” (Al-Kahfi ayat 76)

Pada ayat di atas mereka disifatkan dengan sifat miskin, padahal mereka memiliki perahu besar dan memperoleh pendapatan sebagaimana sabda Rasulullah ketika ditanya orang miskin, Baginda menjawab: “Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta, lalu diberi sesuap atau dua suap, satu buah kurma atau dua buah, tapi orang miskin adalah orang yang tidak cukup apa yang dia dapat daripada pekerjaannya untuk menyara keluarga.”

Zaman sekarang ada satu nama lagi iaitu peminta sedekah atau pengemis.
Terkadang mereka masih ketagih untuk makan hasil dari meminta dan menadah tangan. Kalau sudah cukup duit daripada meminta sepatutnya mereka berhenti meminta tetapi kerana sudah ketagih, mereka akan terus meminta, orang sebegini sudah termasuk dalam kategori mereka yang memiskinkan diri sendiri.

Sebahagian daripada peminta sedekah sebenarnya lebih memerlukan derma dalam bentuk nasihat dan pemulihan mental. Mereka perlu dididik dan disedarkan bahawa tangan di atas, jauh lebih baik dari pada tangan di bawah. Setengah kadang-kadang menjadi keliru kepada peminta sedekah sama ada hendak beri atau tidak.

Kalau kita terus memberi nanti mereka ketagih meminta sehingga langsung tak nak berusaha sebab lagi seronok meminta tanpa bekerja. Kalau tidak beri kasihan juga kalau yang meminta itu memang sangat-sangat memerlukan.

Sebab itu kita perlu memilih kepada siapa kita perlu berinfaq dengan tujuan untuk membantu dan kepada siapa kita perlu berkata maaf dengan tidak memberi mereka wang bukan kerana membenci, tetapi itulah salah satu cara kita mendidik mereka dan agar mereka berfikir dengan bijak.

Bagaimanapun penderma tetap dalam perhatian Allah dengan ganjaran yang istimewa. Percayalah jangan sekali menyesal dengan derma anda sebab banyak sekali hikmah di sebalik pemberian itu.

Antaranya hikmah derma ialah melembutkan hati. Jika hati sudah lembut, mudah untuk seseorang memaafkan orang dan mudah memohon maghfirah selepas melakukan kesalahan, sama ada kecil atau besar.

Kedua, seseorang, apabila menderma dan orang yang menerima derma pula seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan insya-Allah, penerima derma itu pasti berdoa supaya penderma dikurniakan rezeki dan keampunan Allah.

Kesan berganda itu disebutkan dalam al-Quran, seperti ayat 261 dan ayat 265 Surah Al-Baqarah: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.”

Manakala dalam ayat 265 surah sama maksudnya: “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah, dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat (ganda). Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Sumber : Harian Metro


Monday, April 18, 2011

Jinakkan Jiwa Anak Dengan Nur Al-Quran

Dalam situasi semasa kita sedia maklum banyak gejala sosial negatif melanda generasi muda khususnya remaja. Jadi, sebagai ibu bapa aspek pendidikan untuk anak-anak seharusnya menjadi keutamaan yang tidak boleh diabaikan sama sekali. Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap segala tingkah laku dan gerak-geri anak-anak mereka.

Pada tahap usia muda anak-anak sudah mula mengenal dunia luas yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Pengabaian dalam mengambil tahu gerak-geri anak-anak boleh mengakibatkan mereka menjadi tidak terkawal dan bergaul bebas.

Selain itu, kita sebagai ibu bapa seharusnya juga mencuba sedaya boleh meluangkan masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Cubalah wujudkan majlis ilmu bagi membincangkan bersama anak mengenai sirah Nabi saw dan perjalanan sejarah Islam.

Insya Allah dengan pendekatan dan metodologi seperti ini jiwa anak remaja kita akan terisi dengan roh Islam yang mantap. Wujudkan pengajian al-Quran bersama anak-anak dan sentiasalah mengajak mereka mencintai kitab suci itu. Inilah strategi dalam mengukuhkan kekuatan iman dan takwa dalam diri anak remaja.

Remaja yang mematuhi segala perintah syarak akan mewujudkan realiti kehidupan yang sempurna. Allah swt menegaskan mengenai pentingnya kehidupan ini dipaut pada al-Quran. Allah swt berfirman: "Sesungguhnya al-Quran itu membimbing kita ke jalan yang lurus (benar)." (Al-Isra' ayat 9)

Remaja yang rajin membaca ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan sentiasa merenung isi maknanya, sudah tentu akan mampu menghidup dan menjernihkan hatinya. Kata Saidina Ali ra : "Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran. Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan khusyuk."

Justeru, wahai saudaraku yang dirahmati Allah, untuk memperoleh nur dan hidayah Allah itu satu mekanismenya ialah melalui pembacaan al-Quran. Jinakkanlah hati dan jiwa anak-anak kita dengan al-Quran. Jadikan mereka 'bermesra' dengan lebih erat dan 'jatuh cinta' kepada al-Quran.

Bukan setakat mengajar anak-anak membaca al-Quran, sekiranya berkesempatan (Insya-Allah ada kesempatan) cubalah membaca tafsir ayat al-Quran yang dibacakan itu. Ini akan menambahkan keyakinan dan menjernihkan jiwa anak-anak. Lebih baik lagi ajarlah anak-anak remaja kita supaya dapat menghafal ayat-ayat al-Quran secara berperingkat. Inipun satu kaedah bagaimana kita dapat membina kekuatan rohani anak-anak kita.

Perhati dan hayatilah peringatan Rasulullah saw mengenai al-Quran semoga kita sebagai ibu bapa terus tekun mendidik anak-anak dalam pembacaan al-Quran.

Kata Nabi saw: "Sungguh, orang yang dalam hatinya tidak terdapat sesuatu pun daripada al-Quran adalah ibarat rumah yang sepi (menyeramkan )." (HR at-Tirmidzi )

Dipetik riwayat daripada Anas ra. yang mengatakan bahawa Rasulullah saw ada bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia.". Kemudiannya Rasulullah ditanya sahabat: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?". Jawab Nabi: "Iaitu ahli al-Quran (orang yang membaca atau menghafal al-Quran dan mengamalkan isinya)."

Mereka adalah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi Allah. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa hendaknya jadikanlah diri kita dan anak-anak sebagai keluarga Allah sebagaimana yang dimaksudkan Nabi dengan memperbanyakkan aktiviti pembacaan al-Quran.

Anak-anak yang terbiasa dengan pembacaan al-Quran sudah tentu mampu meneruskan kehidupan dalam keadaan yang tenteram dan berdaya dinamik. Mereka akan mengetahui apa yang disuruh dan dilarang Allah, sekali gus membentuk perwatakan sahsiah peribadi yang mulia.

Pesan Nabi saw : "Barang siapa membaca satu huruf daripada kitab Allah akan dituliskan baginya kebaikan. Satu kebaikan melahirkan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alif lam mim satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." ( HR at-Tirmidzi )

Bayangkan jika kita berjaya membentuk anak-anak yang mencintai al-Quran dan mengamalkan segala ajarannya, sudah tentu anak-anak kita sentiasa berada di bawah naungan dan perlindungan Allah. Kita sebagai ibu bapa juga turut sama mendapat pahala di atas amal baik anak-anak kita itu.

Marilah kita ingatkan diri kita sendiri sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak kepada satu pesanan Saidina Ali bin Abi Talib: "Orang yang membaca al-Quran dan ia sedang mendirikan solat, maka setiap huruf baginya ada seratus kebaikan.

"Orang yang membacanya dan ia sedang duduk dalam solat, maka setiap huruf baginya ada lima puluh kebaikan.

"Orang yang membacanya di luar solat dalam keadaan suci, maka setiap huruf baginya ada dua puluh lima kebaikan. "Orang yang membacanya di luar solat dalam keadaan tidak suci, maka setiap huruf baginya ada sepuluh kebaikan."

Ini wasiat emas yang sewajarnya membangkitkan diri kita sendiri untuk selalu mengamalkan pembacaan al-Quran, apatah lagi berusaha membina jiwa anak-anak agar mereka tidak lupa dan berenggang dengan al-Quran.

Akhirulkalam wahai saudaraku yang dirahmati Allah, ayuh bersama kita hayati pesanan Nabi ini: "Mereka yang membaca al-Quran dan ia mahir dalam bacaannya adalah bersama malaikat kiramin bararah dan mereka yang membaca al-Quran dan ia gagap dalam bacaannya dan penuh kesusahan baginya dua ganjaran pahala." ( HR Bukhari dan Muslim)

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
* Penulis seorang guru

Sumber : Serikasih


Blog Widget by LinkWithin